Monday, June 11, 2007

Keputusan Lina Joy - Menang Ya ! Lega Tidak !

oleh Mohamed Hanipa Maidin


Rata-rata orang Islam merasa gembira dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan Lina Joy.

Lina Joy yang asalnya seorang Islam bernama Azalina bt Jailani telah dilahirkan pada 8 Januari 1964. Pada 21 Februari 1997 beliau telah memohon kepada Jabatan Pendaftaran Negara ( JPN ) untuk menukar namanya kepada Lina Lelani di atas alasan telah menukar agama kepada Kristian. Permohonanya ditolak.

Pada 15 Mac 1999 beliau sekali memohon menukar nama dan menggunakan alasan bertukar agama. Pada 22 Oktober 1999 JPN membenarkan permohonanya menukar nama daripada Azalina bt Jelani kepada Lina Joy. Bagaimanapun di dalam kad pengenalannya dicatatkan agama beliau adalah Islam .

Pada 3 Januari 2000 beliau memohon kepada JPN untuk membuang perkataan "Islam" dan nama asalnya di dalam kad pengenalan beliau. Permohonannya ditolak oleh JPN kerana permohonannya dikatakan tidak lengkap disebabkan tiada perintah Mahkamah Syariah yang mengesahkan beliau telah murtad dilampirkan bersama.

Lina Joy telah memfailkan kesnya di Mahkamah Tinggi bagi mencabar keputusan JPN tersebut. Beliau kalah di Mahkamah Tinggi. Beliau telah merayu di Mahkamah Rayuan. Sekali lagi beliau kalah. Keputusan majoriti Mahkamah Rayuan menolak rayuan beliau sementara keputusan minoriti menerima rayuan beliau. Beliau akhirnya merayu ke Mahkamah paling tinggi iaitu Mahkamah Persekutuan. Beliau kalah apabila keputusan majoriti menolak rayuan beliau dengan satu keputusan yang menentang (Y.A Dato' Richard Malanjun ).

Y.A.A. Tun Dato' Sri Fairuz ( Ketua Hakim Negara ) boleh dipuji apabila menolak penghujahan peguam Lina Joy dan juga NGO yang menyokong beliau yang meminta Mahkamah memutuskan bahawa Artikel 11 Perlembagaan memberikan kebebasan mutlak untuk Lina Joy keluar dari agama Islam dan menjadi Kristian dan kebebasan tersebut tidak boleh dihadkan atau dikawal oleh mana-mana undang-undang seperti Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam ( Wilayah Persekutuan ) 1993, Mahkamah Syariah atau mana-mana pihak berkuasa lain.

Tun Fairuz berkata :-

" Saya tidak nampak bagaimana tindakan itu boleh dikatakan bertentangan dengan Perkara 11 ( 1 ) yang dengan sendirinya memperuntukkan keperluan mematuhi kehendak-kehendak agama itu sebelum dia keluar dari agama Islam. Menganuti dan mengamalkan agama Islam sudah tentu bererti mengamalkan bukan sahaja aspek teologi dalam agama itu tapi juga undang-undang agama itu."

Sebagai orang Islam di negara ini kita wajar bergembira dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan Lina Joy tersebut. Namun kita masih belum boleh menarik nafas lega. Mengapa ? Kerana masih terdapat beberapa perkara yang perlu diambil tindakan yang sewajarnya bagi mengelakkan kes seperti ini tidak berulang kembali

a. Perlunya Kerajaan menjadikan murtad sebagai satu kesalahan di dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan atau Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam ( Wilayah Persekutuan ) 1993

Antara isu yang dibangkitkan di dalam kes Lina Joy adalah berkaitan isu bidangkuasa Mahkamah Syariah untuk membicarakan kes murtad. Sebelum kes Lina Joy , terdapat dua aliran penghakiman berkaitan kuasa Mahkamah Syariah untuk membicarakan kes Murtad.

Aliran pertama berpendapat Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Artikel 121 ( 1A ) memberikan kuasa Mahkamah Syariah untuk membicarakan kes murtad meskipun tiada peruntukkan secara jelas di dalam Enakmen yang digubal oleh Negeri-Negeri. Aliran ini mengesahkan apa yang dipanggil sebagai bidangkuasa tersirat ( implied jurisdiction ).

Aliran Kedua pula berpendapat bahawa Mahkamah Syariah hanya dibenarkan membicarakan kes murtad sekiranya terdapat peruntukkan secara jelas di dalam Enakmen Negeri-Negeri yang memperuntukkan secara nyata bahawa Mahkamah Syariah diberi kuasa untuk membicarakan kes murtad. Aliran ini menolak doktrin bidangkuasa tersirat.

Hakim Richard Malanjun yang memberikan keputusan menentang telah menyatakan di dalam pengahkimannya berhubung isu bidangkuasa ini dengan kata-kata berikut :-

" the insistence by NRD for a certificate of apostacy from the Federal Territory Syariah Court or any Islamic Authority was not only illegal but unreasonable. This is because under the applicable law, the Syariah Court in the Federal Territory has no statutory power to adjudicate on the issue of apostacy. It is trite law that jurisdiction must come from the law and cannot be assumed."

( Terjemahan : Gesaan oleh JPN untuk pemohon mengemukakan sijil murtad daripada Mahkamah Syariah atau mana -mana Pihak Berkuasa islam bukan sahaja tidak sah malahan tidak munasabah. Ini kerana berdasarkan undang-undang yang terpakai, Mahkamah Syariah di Wilayah Persekutuan tidak ada kuasa statutori untuk memutuskan isu murtad. Adalah menjadi prinsip undang-undang bidangkuasa mestilah datang daripada undang-undang dan tidak boleh diandaikan ( secara tersirat )."

Sebenarnya isu bidangkuasa Mahkamah Syariah mengendalikan kes murtad ini bukan kali pertama ditimbulkan di Mahkamah sivil. Mahkamah Persekutuan telah beberapa kali menasihati agar pihak Kerajaan memperuntukkan secara jelas di dalam undang-undang ( khususnya di Wilayah Perskutuan ) bahawa murtad hendaklah dibicarakan di Mahkamah Syariah. Amat malang nasihat tersebut tidak diendahkan oleh Kerajaan BN yang mengakibatkan sehingga kini tidak ada peruntukkan secara jelas di Wilayah Perekutuan bahawa murtad hendaklah dibicarakan di Mahkamah Syariah. Sekiranya Kerajaan mengambil perhatian sudah tentu isu ini tidak akan terus-menerus dibangkitkan di Mahkamah Sivil.

UMNO dan mereka yang menyokong dan mengundinya bersalah atas kecuaian ini.

b. Perlunya pindaan ke atas Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Melihat kepada kes murtad di negara ini modus operandinya bermula dengan pertukaran nama Islam kepada nama bukan Islam di dalam kad pengenalannya. Di dalam kes Lina Joy peraturan yang menjadi pertikaian adalah peraturan 14 Peraturan Pendaftaran Negara 1990 ( PPN 1990 ).

Sebelum pindaan kepada Peraturan 14 PPN 1990 mana-mana orang yang ingin menukar namanya di dalam kad pengenalannya hendaklah mengemukakan surat akuan yang menyatakan secara jelas bahawa dia telah secara mutlak ingin meninggalkan nama lamanya dan menggunakan nama barunya dan dia juga harus menyatakan alasan pertukaran namanya.

Berdasarkan pindaan kepada Peraturan 14 pada tahun 1990 mana-mana orang Islam yang ingin mendaftar semula dan ingin memohon pertukaran kad pengenalannya hendaklah memberikan antara lain butir -butir agamanya ( bermula 1/10/1999 ) dan juga mengemukakan keterangan bertulis yang pada pendapat kakitangan JPN perlu untuk menyokong ketepatan butir-butir yang dikemukakan.

Apakah yang dimaksudkan dengan frasa "mengemukakan keterangan bertulis yang pada pendapat kakitangan JPN perlu untuk menyokong ketepatan butir-butir yang dikemukakan."? Frasa ini menjadi pertikaian di dalam kes Lina Joy.

Hakim Richard Malanjun di dalam penghakimannya menyatakan bahawa tiada diperuntukkan di dalam peraturan 14 ( lama dan baru ) untuk Lina Joy mengemukakan sijil murtad daripada Mahkamah Syariah . Oleh itu permintaan JPN untuk Lina Joy mengemukakan sijil tersebut, kata Hakim Malanjun, adalah tidak sah.

Richard Malanjun juga menyokong keputusan Hakim Gopal Sri Ram ( Mahkamah Rayuan ) yang memutuskan bahawa sijil baptisme bertarikh 11 Mei 1998 adalah keterangan yang dikira perlu untuk menyokong ketepatan butir-butir yang dikemukakan oleh Lina Joy untuk menyokong beliau adalah seorang Kristian.

Saya tidak berniat untuk mengkritik apa yang dikatakan oleh Hakim Richard Malanjun dan Gopal Sri Ram tersebut. Apa yang lebih penting bagi saya bagaimana kita boleh mencari jalan keluar bagi menutup mulut mereka yang menggunakan hujah tersebut untuk menyokong orang Islam yang ingin keluar agamanya.

Saya berpendapat pihak Kerajaan perlu meminda sekali lagi Peraturan 14 PPN 1990 tersebut dengan memperuntukkan secara jelas bahawa mana-mana orang Islam yang ingin membuat pertukaran kad pengenalan atau menukar butir-butir namanya kepada nama bukan Islam atau membuang perkataan Islam di dalam kad pengenalannya wajib mengemukakan perintah bemeterai daripada Mahkamah Syariah kepada pihak JPN. Tanpa perintah Mahkamah Syariah tersebut permohonan tersebut hendaklah ditolak.

c. Pengundi Islam wajib menggunakan hak mereka dengan menuntut Islam dilaksanakan secara syumul di negara ini.

Sesuatu yang amat mengagumkan di dalam kes Lina Joy ini adalah apabila Tun Dato Sri Fairuz sebagai Hakim Mahkamah Sivil telah memperakui kesyumulan Islam apabila beliau berkata :-

" Islam itu bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ianya juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian dan awam, perundangan, politik, ekonomi , sosial, budaya, moral atau kehakiman. Dan jika diteliti Perkara-Perkara 11 ( 1 ). 74 ( 2 ) dan Item 1 di Senarai 2 Jadual Kesembilan Perlembagaan Perskutuan akan ketara Islam itu meliputi antara lainnya undang-undang Islam."

Wow ! "A very good lesson" untuk UMNO dan pihak -pihak yang masih meragui kesyumulan Islam!

Berbekalkan dengan pengkitirafan ini pengundi -pengundi yang beragama Islam wajib menggunakan hak mengundi mereka sebagai "bargaining power" ke atas parti politik yang ingin mendapatkan undi mereka agar Islam sebagai Al-Deen ditegakkan di negara ini.

Kalau pihak-pihak yang ingin murtad boleh menggunakan ( baca menyalahgunakan ) Artikel 11 untuk menghancurkan Islam dengan memohon hak untuk murtad maka kenapakah orang Islam yang komited pada agamannya tidak boleh menggunakan Artikel yang sama untuk berhujah bahawa hak mengamalkan agama di dalam Artikel 11 adalah merangkumi pengamalan agama secara syumul dalam semua aspek kehidupannya dan ianya tidak boleh disekat oleh mana-mana pihak .

Wahai saudara-saudaraku orang Islam, bangun dan minta hak kamu !!!