Sunday, May 20, 2007

RAYUAN KES SUBASHINI TIDAK MENJAWAB ISU SEBENAR

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Di dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan, peguam Subashini telah mengemukakan sembilan persoalan undang-undang yang perlu diputuskan oleh Mahkamah.

Saya berpendapat sembilan persoalan undang-undang yang dikemukakan tersebut tidak menjawab isu sebenar . Isu sebenar adalah adakah seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang ( Perkahwinan dan Penceraian ) 1976 ( selepas ini dirujuk sebagai Akta tersebut ) selaras atau bercanggah dengan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan,artikel yang melarang diskriminasi .

Isu tersebut sepatutnya harus diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan kerana Seksyen 51 secara jelas mendiskriminasi pihak yang beragama Islam kerana seksyen tersebut melarang pihak yang beragama Islam ( sama ada suami atau isteri ) untuk pergi ke Mahkamah Sivil bagi mendapatkan perintah penceraian di atas alasan beliau telah memeluk Islam.

Secara ringkasnya fakta kes ini adalah seorang wanita Hindu , Subashini Rajasingham telah berkahwin dengan seorang lelaki Hindu bernama Saravanan Thangathoray pada tahun 2001.

Hasil perkahwinan mereka terdapat dua orang anak iaiti Dharvin Joshua berumur 3 tahun dan Sharvind berumur 1 tahun. Saravanan kemudiannya telah memeluk agama Islam dengan nama Islamnya Muhammad Shafi.

Memandangkan isterinya kekal dalam agama Hindu, Muhammad Shafi tidak mempunyai pilihan selain daripada pergi ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan perintah pembatalan perkahwinannya dengan isterinya yang masih beragama Hindu.

Menurut undang-undang Islam, perkahwinan Muhammad Shafi adalah dikira terbatal secara automatik apabila beliau memeluk Islam tatkala isterinya enggan masuk Islam dan kekal dalam agama Hindu.

Bagaimanapun di dalam undang-undang yang sedia ada Muhammad Shafi perlu mendapatkan perintah Mahkamah terlebih dahulu bagi membatalkan perkahwinannya dengan bekas isterinya tersebut kerana Seksyen 46 ( 1 ) Akta Undang-Undang Keluarga Islam ( Wilayah Persekutuan ) 1984 memperuntukkan bahawa:

“ Jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan itu murtad atau memeluk satu kepercayaan lain daripada Islam , maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuatkuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan demikian oleh Mahkamah.”

Muhammad Shafie tidak mempunyai pilihan selain daripada pergi ke Mahkamah Syariah kerana meskipun perkahwinannya dengan bekas isterinya dikawal oleh Akta Membaharui Undang-Undang ( Perkahwinan dan Penceraian ) 1976 ( selepas ini dirujuk sebagai Akta tersebut ) , Akta tersebut sendiri menghalang Muhammad Shafie untuk memfailkan petisyen penceraian di Mahkamah Tinggi ( Sivil ) kerana berdasarkan seksyen 51 Akta tersebut diperuntukkan:

“ Jika satu pihak kepada sesuatu perkahwinan telah masuk Islam maka pihak yang satu lagi yang tidak masuk Islam boleh mempetisyen untuk penceraian.”

Berdasarkan seksyen 51 Akta tersebut adalah jelas Muhammad Shafie dihalang oleh undang –undang sivil sendiri untuk memfailkan petisyen penceraian di Mahkamah Sivil.

Seksyen 51 digubal di atas falsafah bahawa memasuki agama Islam dikira satu kesalahan matrimonial dan yang demikian pihak yang masuk Islam dinafikan haknya untuk mendapatkan remedi di Mahkamah Sivil.

Di dalam kes Pedley v Majlis Agama Islam , Pulau Pinang ( 1990 ) 2 MLJ 307 Y.A Hakim Wan Adnan menyatakan bahawa “ satu perkahwinan bukan Islam tidak dibubarkan apabila satu pihaknya memeluk Islam. Ia hanya memberi alasan kepada satu pihak satu lagi yang tidak masuk Islam untuk memfailkan petisyen penceraian ( di Mahkamah sivil ).

Meskipun di dalam kes tersebut Kadi Besar memutuskan bahawa perkahwinan di dalam keadaan tersebut akan dibubarkan mengikut undang –undang Islam, Hakim Wan Adnan menyatakan; “ pernyataan Kadi Besar itu tidak akan menjejaskan keadaan Plaintif di dalam pandangan undang-undang peribadinya dan undang-undang sivil negara.”

Kesan ketara seksyen 51 dalam konteks kes ini adalah perkahwinan antara Muhammad Shafie dan Subashini akan terus wujud selagi mana Subashini tidak memfailkan petisyen penceraiannya di Mahkamah Tinggi dan ini mendatangkan satu ketidakadilan kepada pihak yang masuk Islam.

Meskipun di dalam kes ini Muhammad Shafi telah mendapatkan perintah pembubaran perkahwinannya dengan Subashini di Mahkamah Syariah namun ianya tidak berkesan membubarkan perkahwinannya ke atas Subahsini , Ini kerana menurut seksyen 4 atau 8 Akta tersebut perkahwinan tersebut , jika sah hendaklah berterusan sehingga dibubarkan

( a ) dengan kematian salah satu pihak ;

( b ) dengan perintah sesuatu Mahkamah yang mempunyai bidangkuasa yang layak ; atau

( c ) dengan dikri pembatalan yang dibuat oleh sesuatu Mahkamah

“Mahkamah” di dalam seksyen tersebut ditakrifkan sebagai Mahkamah Tinggi atau Hakim Mahkamah Tinggi.

Di dalam kes ini bagaimanapun Subashini telah memfailkan petisyen penceraian di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membubarkan perkahwinannya dengan Muhammad Shafi . Sebelum petisyen penceraian tersebut didengar, Subahsini telah membuat permohonan bagi mendapatkan perintah injunksi bagi :-

a.Menghalang Muhammad Shafi mengislamkan anak –anak mereka ;

b.Menghalang Muhammad Shafi untuk memulakan atau meneruskan prosiding berhubung dengan perkahwinan mereka dan anak-anak mereka di Mahkamah Syariah .

Mahkamah Tinggi yang mendengar permohonan injunksi tersebut meskipun pada awalnya membenarkan injunksi diberikan secara ex parte telah membatalkan perintah injunksi tersebut atas alasan-alasan berikut :-

a.Injunksi tidak boleh diberikan ke atas apa-apa prosiding di Mahkamah Syariah di bawah seksyen 54 (b) Akta Relif Spesifik 1950 kerana Mahkamah Syariah bukan Mahkamah yang lebih rendah daripada Mahkamah Tinggi ;

b.“Subject matter” bagi permohonan injunksi tersebut adalah termasuk dalam perkara yang berkaitan undang-undang Islam maka berdasarkan Perkara 121 ( 1A ) Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidangkuasa untuk mendengar permohonan tersebut.

Subashini telah memfailkan rayuannya di Mahkamah Rayuan dan di Mahkamah Rayuan dua orang Hakim ( Hakim Dato’ Suriyadi dan Dato” Hassan Lah ) telah memutuskan menolak rayuan Subashini manakala Hakim Gopal Sri Ram memberikan keputusan yang menentang ( dissenting judgment ).

Keputusan Mahkamah Rayuan khususnya keputusan Hakim Dato’ Hassan Lah telah dikritik secara bertalu-talu oleh pihak bukan Islam dan juga sesetengah orang Islam sendiri kerana Hakim tersebut telah memberikan satu pandangan bahawa Subashini masih mempunyai peluang ( recourse ) untuk pergi ke Mahkamah Rayuan Syariah jika beliau tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah kerana di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam ( Wilayah Persekutuan )1993 iaitu di bawah seksyen 53 terdapat peruntukkan yang membenarkan Mahkamah Rayuan Syariah untuk menyemak keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan permohonan Muhammad Shafie .

Yang Arif Hakim Hasan Lah di dalam penghakimannya menyatakan;

“ I think the wordings in that section ( section 53 ) is wide enough to enable the wife to apply to the Syariah Appeal Court to exercise its supervisory and revisionary powers to make the ruling on the legality of the husband's application and the interim order obtained by the husband on the ground that the Syariah Court had no jurisdiction over the matter as she is not a person professing a religion of Islam. The wife could have done that rather than asking the Civil Court to review the Syariah Court's decisions”.

Kritikan yang dibuat oleh pihak-pihak bukan Islam adalah Mahkamah Syariah tidak layak sama sekali mengadili orang bukan Islam dan cadangan Dato Hasan Lah adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa bidangkuasa Mahkamah Syariah hanya ke atas orang Islam sahaja.

Kritikan tersebut secara jelas mengabaikan atau mengenepikan perkara –perkara berikut :-

a.Cadangan Hassan Lah adalah bagi memberikan ruang untuk Subashini mendapatkan peluang untuk meminta Mahkamah Rayuan Syariah , sekiranya beliau tidak berpuashati , melihat atau menyemak legaliti keputusan Mahkamah Tinggi Syariah.

Dalam melakukan hal tersebut Subashini hanya perlu menulis surat kepada Mahkamah Rayuan Syariah untuk meminta Mahkamah Rayuan Syariah menyemak kembali keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan permohonan Muhammad Shafi

b.Tidak langsung membicarakan peruntukkan seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang ( Perkahwinan dan Penceraian ) 1976 yang menghalang sama sekali Muhammad Shafi memfailkan penceraiannya dan mendapatkan perintah-perintah yang berkaitan ( ancillary orders ) di Mahkamah Sivil yang mana seksyen 51 ini adalah satu diskriminasi yang ketara ke atas orang Islam dan boleh dihujahkan bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan persamaan di sisi undang-undang ( equality before the law ).

c.Memaksa untuk Muhamad Shafie untuk tunduk dan menyerah diri kepada bidangkuasa Mahkamah Sivil ke apabila Muhammad Shafie dijadikan Responden di dalam petisyen penceraian yang difailkan oleh Subahshini di bawah seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang ( Perkahwinan dan Penceraian ) 1976 sedangkan berdasarkan seksyen 3 ( 3 ) Akta tersebut secara jelas memperuntukkan bahawa Akta tersebut tidak terpakai kepada orang Islam tetapi enggan mengarahkan Subashini untuk tunduk kepada Mahkamah Syariah bagi mencabar keputusan Mahkamah Syariah .

d.Tidak langsung mengambil kira kritikan Hakim Dato Suriyadi di dalam penghakimannya kepada pihak-pihak yang menjadi pemerhati di dalam kes tersebut seperti Sisters In Islam, Woman's Aids Organization ( WAO ), Woman's Centre for Change ( WCC ), Bar Council dan yang lain yang meskipun diberi peluang untuk mengemukakan hujah mereka telah tidak membuat persiapan yang mencukupi ( ill prepared ) di dalam mengemukakan hujah bagi membantu Mahkamah.

Hakim Dato Suriyadi menyatakan, “ Well-intentionned third parties, championing certain views did not contribute much to the proceeding before us due to their ill preparedness.”

Kesimpulannya kes Subahsini ini merupakan satu lagi plot baru pihak-pihak tertentu memanipulasi keadaan bagi mewujudkan satu rasa tidak puas hati di kalangan bukan Islam khususnya terhadap peranan Mahkamah Syariah dan perlaksaaan undang-undang Islam di negara ini.

Dalam banyak keadaan isu-isu seperti ini disensasikan dengan diputarbelikan atau disembunyikan fakta atau isu yang sebenar. -

Saturday, May 19, 2007

PENGERUSI SPR – BERHENTILAH SEBELUM NYANYUK !

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Akhbar NST bertarikh 17 April 2007 melaporkan tentang isu membuat janji sebelum pilihanraya dengan laporan berikut

“ On whether candidates standing for elections or their parties could make pre-election promises to voters Abdul Rashid said EC rules did not permit it. However, people connected with the government, like ministers , are permitted by law.”

( Terjemahan : (Isu ) sama ada calon-calon yang bertanding di dalampilihanraya atau parti mereka boleh membuatjanji-janji pra-pilihanraya kepada para pengundi AbdulRashid berkata bahawa Peraturan Pilihanraya tidakmembenarkannya. Bagaimanapun , mereka yang adahubungan dengan Kerajaan, seperti para Menteri ( bolehberbuat demikian ) kerana dibenarkan undang-undang.”

Berasaskan anggapan laporan NST tersebut adalah benar, saya benar-benar ingin tahu undang-undang manakah yang dirujuk atau dimaksudkan oleh Abdul Rashid apabila beliau menyatakan bahawa mereka yang ada hubungan dengan Kerajaan, seperti para Menteri boleh membuat janji-janji sebelum pilihan raya kepada para pengundi.

Memberi atau membuat janji kepada para pengundi sama ada sebelum, semasa atau selepas pilihanraya adalah sesuatu yang dilarang oleh undang-undang pilihanraya.

Perbuatan tersebut adalah dikira satu sogokan ( bribery ) dan menurut Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 ( Akta 5 ) sogokan adalah termasuk di dalam amalan rasuah (corrupt practices ) sepertimana yang dinyatakan di Bahagian 111 Akta tersebut.

Seksyen 10 ( c ) secara jelas melarang mana-mana orang untuk membuat apa-apa janji kepada mana-mana orang sebelum , semasa atau selepas pilihanraya bagi tujuan mendapatkan undi mana pengundi dalam mana –mana pilihanraya.

Jika dilihat kepada seksyen 10 ( c ) Akta tersebut adalah jelas peruntukan tersebut terpakai kepada semua orang tanpa mengira orang tersebut mempunyai hubungan dengan Kerajaan seperti Menteri atau yang tidak ada hubungan dengan Kerajaan kerana perkataan yang digunakan di dalam seksyen 10 ( c ) tersebut adalah umum iaitu “mana-mana orang” ( every person ).

Keduanya seksyen 10 ( c ) juga melarang mana-mana orang membuat janji ( sogokan ) pada tiga keadaan masa– iaitu sebelum, semasa dan selepas pilihan raya. Ini bermakna mana-mana Menteri tidak boleh sama sekali membuat janji kepada pengundi hatta sebelum pilihanraya. Setakat hari ini itulah undang-undang yang terpakai didalam negara ini selagi ia tidak dipinda.

Memandangkan seksyen 10 ( c ) Akta tersebut terpakai kepada mana-mana orang yang mana ia termasuk para Menteri saya tidak nampak peruntukkan undang-undang manakah yang digunapakai oleh Pengerusi SPR apabila beliau menyatakan bahawa para Menteri adalah dibenarkan undang-undang untuk membuat janji kepada para pengundi sebelum pilihanraya.

Selagi Menteri –Menteri Barisan Nasional ( BN ) adalah dikira “orang” mereka tertakluk kepada seksyen 10 ( c) Akta tersebut . Seksyen 10 ( c ) hanya dikecualikan pemakaiannya jika Menteri-Menteri BN tersebut bukan lagi dikira “orang” seperti Orang Utan atau mana-mana mahkluk yang bukan dikenali sebagai manusia.

Saya tidak pasti adakah Abdul Rashid semasa membuat kenyataan tersebut sedang menyindir bahawa Menteri-Menteri BN yang sering dan ketagih melanggar undang-undang pilihanraya adalah pada hakikatnya BUKAN ORANG –sebab itulah gamaknya mereka dibenarkan membuat janji-janji sebelum pilihan raya kerana Akta Kesalahan Pilihanraya tidak terpakai kepada mereka.

Akhbar NST ( 22/4/2007 ) pula melaporkan bahawa AbdulRashid menyatakan janji-janji pembangunan (development promises ) tidak boleh dikira sebagai membeli undi kerana menurutnya menteri-menteri dan orang-orang yang berkaitan dengan Kerajaan hanya menjalankan tugas mereka. Bertolak dari pendirian songsang ini, tidak hairanlahAbdul Rashid hanya menutup mata dan membisu seribu bahasa apabila Khir Toyo dengan senang hati menyerahkan 400 geran tanah di empat kampong di Ijok pada hari jumaat yang lalu ( NST 22/4/2007 ), sewaktu waktu kempen pilihanraya Ijok meskipun mereka yangmenerima geran tanah tersebut dengan secara terbuka menyatakan di TV7 bagaimana mereka telah menunggu hampir 30 tahun untuk mendapatkan geran tersebut dan baru kini mereka diberikan geran tersebut.

Makaberbuih-buih mulut mereka yang juga pengundi di Ijok memuji BN dan Khir Toyo dengan pemberian geran tersebut.

Kenyataan Rashid bahawa janji pembangunan bukan dikira membeli undi ( vote-buying ) bukan sahaja satu kenyataan yang ‘songsang” malahan saya berani mengatakan ianya satu kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab . Kesongsangan kenyataan beliau tersebut adalah di atas alasan undang-undang yang telah saya jelaskan sebelum ini.

Saya menyatakan kenyataan tersebut juga satu kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab kerana kenyataan tersebut memberi lesen atau cek kosong kepada Kerajaan BN dan para menteri-menteri haprak BN bermaharajalela untuk meluluskan sebarang projek dengan sewenang-wenangnya , khususnya di dalam pilihan raya kecil Ijok bagi mempengaruhi pengundi untuk menyokong BN.

Ia sekaligus menafikan calon dan partai politik pembangkang yang bertanding untuk bertanding di atas padang yang rata kerana secara jelas calon dan partai politik pembangkang tidak mempunyai kemampuan atau peluang untuk meluluskan apa-apa projek kepadapengundi/rakyat.

Kenyataan Rashid ini juga membuktikan bahawa SPR bukan sahaja tidak komited untuk melihat pilihanraya adil dan bersih berlaku dalam negara ini malahan SPRlah melalui pengerusinya terus menerus menggalakkan pilihanraya yang berat sebelah , kotor, berkarat, hanyir dan berlendir terus diadakan di negara ini.

Hanya insan yang kotor dan jijik sahaja yang tidak jijik dengan kekotoran seperti itu.

Untuk Rashid enough is enough !!!

Pindaan Akta PTPTN – Kerajaan bertindak sebagai pemungut ufti !!!

Pindaan Akta PTPTN – Kerajaan bertindak sebagai pemungut ufti !!!

Oleh Mohamed Hanipa Maidin

Ketika saya sedang menyiapkan artikel ini, Parlimensedang dalam proses meminda Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 ( Pindaan ) 2006. Jika dilihat kepada pindaan yang dicadangkan amat jelas ia akan mewujudkan satu lagi kesusahan yang baru ke atas rakyat negara ini. Apa nak buat inilah satu lagi projek Barisan Nasional!!!

Antara pindaan yang dicadangkan ke atas Akta ini adalah melibatkan Seksyen 22 .
Secara ringkas pindaan ke atas seksyen 22 tersebut adalah seperti berikut :

-Ketua Eksekutif boleh meminta Ketua Polis Negara atau Ketua Pengarah Imigresen melarang pelajar penerima pinjaman tersebut daripada meninggalkan Malaysia sehingga dia membayar semua amuan yang kena dibayar kepada pihak Perbadanan ;

- Ketua Polis Negara atau Ketua Pengarah Imigresen apabila diminta oleh Ketua Eksekutif hendaklah mengambil langkah yang perlu termasuk menggunakan kekerasan yang munasabah dan penyitaan, pembatalan atau penahanan mana-mana perakuan pengenalan atau pasport , permit keluar atau dokumen perjalanan yanglain.

Sebenarnya dari awal lagi apabila pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional ( PTPTN ) membuat keputusan untuk melantik Lembaga Hasil Dalam Negeri LHDN sebagai ejen pemungutan PTPTN untuk mendapatkan bayaran balik dari peminjam pihak Kerajaan pada hakikatnya bukan memberi bantuan kepada pelajar sebaliknya bertindak sebagai pemungut “ufti” atau cukai dari pelajar. Agenda pemungut ufti atau cukai hanya satu – bayar atau kami akan susahkan kamu !!!.

Tidak cukup melantik LHDN sebagai ejen pengutip “cukai”daripada pelajar kini pihak Ketua Polis Negara dan Ketua Pengarah Imigresen juga turut dilibatkan sama . Kesemua ejen-ejen ini secara mutlaknya diberi kuasa menggunakan kekerasan jika perlu kepada peminjam ( baca sebagai pembayar cukai ) tabung pendidikan negara.

Sukar untuk kita menerima kerasionalan penggunaan polis dan pihak imigresen bagi mendapatkan kembali pinjaman ( baca sebagai cukai ) sedangkan hubungan peminjam dan PTPTN sepatutnya dikawal oleh Akta Kontrak 1950 yang umumnya mengawal mana-mana transaksi antara peminjam dan pemberi pinjaman.

Dengan melibatkan pihak polis dalam isu peminjaman ini kedudukan peminjam kini setara dengan penjenayah yang berbahaya dan perlu sentiasa diawasi pergerakkan mereka !!!.

Sebenarnya isu peminjaman ini amat mudah. Peminjam menerima pinjaman dari PTPTN dan terdapat satu perjanjian yang ditandatangani. Jika peminjam engkar bayar, apa yang perlu dilakukan oleh PTPTPN hanya memfailkan saman ke atas peminjam. Jika Mahkamah memutuskan peminjan wajib membayar , pihak PTPTN bolehlah menguatkuasakan penghakiman tersebut melalui prosiding perlaksanaan ( execution proceedings ) seperti tindakan kebankrapan, penyitaan dan tindakan lain yang dinyatakan secara jelas dalam undang-undang.

Mengapakah harus dilibatkan Polis ? Mengapakah kuasa Polis yang amat luas dalam kes jenayah hendak diperluaskan pula kini ke bidang sivil ? Tidakkah PTPTN sedar dengan memberi kuasa yang luas kepada polis ini hanya akan mewujudkan apa yang dinyatakan oleh Lord Acton bahawa “ power tends to corrupt and absolute power corrupts absolutely” ( Kuasa akan cenderung untuk rosak, dan kuasa yang mutlak akan rosak semutlak-mutlaknya

Pindaan ini juga meluaskan had masa bagi PTPTN mengambil tindakan bagi pinjaman pendidikan iaitu daripada tempoh 6 tahun seperti mana yang diperuntukkan dalam Akta Had Masa kepada 12 tahun menurut pindaan kepada seksyen 23 Akta ini. Di dalam undang-undang hanya kes berkaitan tanah had masa dilanjutkan sehingga 12 tahun.

Ini satu lagi diskriminasi nyata ke atas peminjam PTPTN ini. Jika kawan-kawan peminjam yang mendapat pinjaman daripada penaja-penaja lain seperti JPA MARA, PETRONAS dan yang lain tidak boleh disaman oleh penaja mereka selepas tamat tempoh 6 tahun daripada tarikh mereka engkar membayar pinjaman mereka , peminjan PTPN pula boleh disaman oleh PTPTN dalam masa 12 tahun daripada tarikh mereka engkar membayar.

Dan jika kawan-kawan mereka yang menerima pinjaman daripada penaja mereka tidak perlu takut dam bimbang pihak polis akan menggunakan kekerasan dan melakukan penyitaan serta pembatalan atau penahanan pasport mereka, peminjam PTPTN akan sentiasa hidup dalam ketakutan dan mimpi ngeri !

Untuk rakyat ijok yang menyokong BN dan mempunyai anak yang tergolong dalam kategori peminjam PTPTN syabas untuk kamu ! . Ini satu lagi hadiah dan projek BN kepada kamu !

pertukaran blog

Assalamualaikum.w.b.t

Blog peguampas kini bertukar kepada lawyerpas.

Selamat datang.

Hanipa Maidin